contengan untuk gewe (1)

 

Awak,
kalau nanti awak tak dapat ke mana-mana bersama saya
tak dapat menemani saya
tak dapat bawa saya,

Awak ketahuilah,
tak mengapa
saya boleh jaga diri
selalu pandai berdikari
hati saya bukan senang-senang lari
tunaikanlah tugas yang mengheret awak pergi
saya ini mudah mengerti.

Cuma awak,
biarlah saya teruskan berjalan ya
jangan kerana awak tak dapat jalan bersama
awak rantai kaki saya
saya mudah dibahagiakan, mudah mengerti dan sukar membenci
saya akan sayang awak seorang
selagi awak bebaskan saya terbang.

dongeng kecantikan

Sebelum wanita berduyun-duyun memasuki pasaran tenaga kerja,ada suatu kategori yang jelas untuk mereka yang dibayar untuk ‘kecantikan’ : iaitu wanita dalam kerjaya yang mempamerkan diri – model fesyen, pelakon, penari, dan pekerja seks dengan bayaran tinggi.

Sehingga berlakunya emansipasi wanita, perempuan dengan ‘kecantikan untuk kerjaya’ ini selalunya tidak dikenali, berstatus rendah, dan tidak dihormati. Semakin tinggi kedudukan wanita dalam masyarakat, semakin tinggi pula prestij, kemasyhuran, dan wang yang diganjarkan pada kerjaya yang mempamerkan diri sedemikian: Mereka dimuliakan lebih tinggi daripada wanita-wanita lain yang berusaha bangkit, mereka diunjukkan sebagai teladan untuk dicontohi.

Pada hari ini, semua kerjaya yang sedang diterjah oleh kaum wanita semakin pantas dikategorikan semula menjadi – untuk wanita-wanita di dalamnya – sebagai ‘kerjaya mempamerkan diri’. Kecantikan menjadi syarat penting untuk wanita meraih darjat dan kemajuan dalam kerjayanya.

Tiga penipuan utama ini ialah :

(1) ‘Kecantikan’ ialah suatu syarat yang sah dan penting untuk seorang wanita memperoleh kuasa.

(2) Penipuan yang penuh diskriminasi dalam nombor (1) tadi diselindungkan dengan cara mengaitkannya dengan ‘mimpi Amerika’ (American dream) : ‘Kecantikan’ dapat dimiliki oleh mana-mana wanita yang sanggup berusaha keras untuk mendapatkannya. Kedua-dua penipuan ini bersekongkol untuk membolehkan majikan yang menggunakan ‘Kelayakan Kecantikan’ (Professional Beauty Qualification) berpura-pura bahawa ia benar-benar sesuai untuk menilai kebolehan seseorang wanita sebagai tambahan pada tugas-tugas profesionalnya yang lain.

(3) Seorang wanita yang bekerja diberitahu bahawa dia perlu berfikir tentang ‘kecantikan’ dengan cara yang diajar oleh gerakan-gerakan wanita. Penipuan terakhir ini ialah satu lagi cara ‘dongeng kecantikan’ mempengaruhi kehidupan peribadi seseorang wanita: Untuk setiap tindakan feminis, akan wujud suatu reaksi ‘dongeng kecantikan’ yang seimbang dan bertentangan. Gerakan yang memperjuangkan wanita tidak menganjurkan mereka mempamerkan diri dan meniagakan kecantikan.

Pada tahun 1980an jelas didapati bahawa apabila wanita menjadi semakin penting, kecantikan juga menjadi semakin penting. Semakin hampir wanita pada kekuasaan, semakin banyak pengorbanan dan kerisauan fizikal yang dituntut daripada mereka. ‘Kecantikan’ menjadi syarat untuk wanita maju kehadapan. Anda sekarang sudah terlalu kaya, jadi anda tidak boleh menjadi terlalu kurus.

Mata rantai yang menghubungkan ideologi ini kepada kaum wanita ialah pemikiran yang dipaparkan dalam majalah-majalah mereka.

Dengan menggunakan bahasa impian meritokrasi (‘dapatkan tubuh yang anda layak peroleh’; ‘bentuk badan yang mantap tidak datang sendiri tanpa usaha keras’,) bahasa keusahawanan (‘manfaatkan aset semula jadi anda sepenuhnya’), mempertanggungjawabkan wanita atas perubahan saiz badan dan penuaan (‘anda sesungguhnya boleh membentuk semula badan anda’; ‘kini anda dapat mengawal garis-garis kedut pada wajah’), malah pengakuan terbuka (‘akhirnya anda juga dapat mengetahui rahsia yang disembunyikan bertahun-tahun oleh perempuan cantik’), majalah-majalah ini memastikan wanita terus mengambil produk pengiklan, demi mengejar perubahan diri dan mendapatkan darjat pada pandangan masyarakat. Darjat yang diberi kepada kaum lelaki dalam bentuk wang.

– terjemahan (dan sedikit ubahsuai untuk membantu kefahaman pembaca) untuk cebis-cebis daripada bab kedua The Beauty Myth (‘Dongeng Kecantikan’), Naomi Wolf