rupa-rupanya dari Nigeria

Saya sedang memandu ke Kota Bharu atas suatu urusan. Masuk mesej dari Ayah, minta terjemahkan ayat ke Bahasa Inggeris dengan segera. Saya tergesa-gesa meminggirkan kereta, berhenti di stesen minyak dan menunaikan permintaan Ayah. Agak panjang ayat yang diterjemahkan. Berkait urusan jual beli dalam perniagaan kecil-kecilan Ayah. Saya tidak banyak fikir, mungkin Ayah berjualan dengan peniaga Cina yang tidak begitu pandai berbahasa Melayu.

Ayah menghantar beberapa mesej lagi selepas itu, sama ada minta diterjemahkan ke Bahasa Inggeris, atau ayat Bahasa Inggeris yang mahu difahamkan maksudnya dalam Bahasa Melayu. Saya sibuk dengan urusan sendiri, menjawab saja pertanyaan yang diajukan tanpa bertanya lebih lanjut.

Pada ayat terakhir daripada rakan niaga Ayah, ‘Are you excited selling overseas?’ Deria misai kucing saya sudah rasa tidak kena. Overseas? Ke mana? Businessmen don’t exactly ask each other about their ‘excitement’. As an English speaker, that sentence feels very wrong in its context. I can’t quite pin it down, but my senses are tingling.

(Sepatutnya saya sudah curiga lebih awal, tapi fikiran saya lebih tertumpu pada urusan yang hendak diselesaikan).

Setelah sampai semula ke rumah, saya teliti semula perbualan Ayah dengan ‘rakan niaga’ nya. Saya minta Ayah hantarkan semua perbualan mereka sejak awal, dan bertanya dengan terperinci dari mana sebenarnya ‘rakan niaga’ ini muncul.

Sebenarnya, Ayah mengiklankan sesuatu di mudah[dot]com, dengan bantuan adik yang lebih IT-savvy. Lalu muncullah seorang manusia bernama ‘Mr Alex Leccha’, yang berkata ‘Am from united kingdom’, ‘Am presently at the military training camp in united kingdom’, ‘am buying (the item) for my brother’.

Saya pasti sesiapa yang biasa berkomunikasi dengan ‘orang putih’ sebenar akan berasa curiga. Rakyat United Kingdom yang sebenar tidak bercakap seperti itu dalam perbualan mereka. (Saya tidak diberi mesej-mesej yang itu oleh Ayah sewaktu diminta menterjemah tadi).

Saya minta Ayah beri nombor telefon yang digunakan.

+234 802 692 1910

Itu BUKAN nombor UK.

Saya gunakan Google (sebarang panggilan dari nombor tidak diketahui saya akan masukkan ke dalam enjin carian Google, sangat membantu mengelak scam dan melayan jurujual).

Nombor itu ialah nombor NIGERIA.

Saya beritahu Ayah supaya abaikan terus ‘rakan niaga’nya. Saya khabarkan bahawa Ayah sedang ditipu, bahawa muslihat selanjutnya akan dibuat jika kita melayan orang ini lagi. Saya tahu Ayah sudah lama berniaga, tapi saya pesan supaya Ayah berhati-hati jika berurusan dengan orang secara maya (online) atau orang yang bukan rakyat Malaysia.

Muslihat ‘scam’ Nigeria ini bukan benda baru. Orang-orang putih yang entah siapa yang mahu ‘friend’ kita di Facebook, hampir 99% pasti ialah ‘mereka’ yang menyamar untuk menipu duit perempuan. ‘LOVE SCAM’ istilahnya. Wanita di seluruh dunia sudah dan masih banyak ditipu beribu-ribu, malah beratus-ratus ribu oleh mereka.

Saya jangka apa yang hampir berlaku pada Ayah ialah ‘MACHINE SCAM’. Salah satu teknik yang saya temukan, dibincangkan dalam beberapa laman web, ialah pura-pura membeli sesuatu kemudian membayarnya dengan cek yang melebihi harga asal. Penjual (mangsa) terpaksa membayar sejumlah wang untuk mengganti lebihan harga tersebut, sedangkan cek yang diberi belum ditunaikan. Selepas transaksi berlaku, cek itu rupa-rupanya palsu.

Itu hanya salah satu contoh.

___

Ibu bapa kita pasti lebih banyak makan garam daripada kita. Mereka lebih arif dan bijak tentang banyak putar belit kehidupan, tetapi mungkin dalam sesetengah perkara, mereka lebih naif dan mudah dijadikan mangsa. Contohnya urusan jual beli online.

Seperti mereka memastikan kita jangan ditipu dan dipermainkan,
kita juga wajar mengintai-intai mereka supaya jangan ditipu dan dipermainkan.

Leave a comment