Chani dan Irulan

I

Nasib Puteri Irulan boleh dikatakan malang. Wataknya sekali pandang bak feminis zaman moden yang dipaparkan melalui kaca mata misoginis/anti feminis/peminat drama jam tujuh. ‘Wanita karier’ yang ketandusan kasih sayang, kononnya akibat ‘terlalu mengejar kuasa’.

Cantik jelita, berpendidikan, dan berketrampilan. Sebagai pewaris Maharaja Padishah, tuan puteri sejak kecil sudah mahir dengan ekonomi dan siasah negara, serta tipu muslihat istana. Tuan puteri diasuh dengan ajaran Bene Gesserit yang membolehkan dia mengawal seluruh fungsi otot dan saraf melalui latihan prana-bindu, menafsir sekecil-kecil reaksi lawan bicara yang tersurat atau tersirat hingga hampir tiada yang tersembunyi, dan mempunyai teknik Suara yang dapat menguasai fikiran serta tindakan orang lain.

Pada zahirnya, memang Puteri Irulan ialah calon terbaik untuk berada di samping Paul Atreides sebagai permaisuri, sebagai Maharani kerajaan semesta selepas Paul merampas takhta ayahandanya. Puteri Irulan memasuki perkahwinan dengan keyakinan bahawa hati dan kuasa Paul lambat laun pasti akan berada dalam tangannya.

Sayang, Paul tidak pernah menerima Puteri Irulan lebih daripada sekadar ‘Princess Consort’ – isteri dan permaisuri hanya pada nama. Puteri Irulan duduk dalam mesyuarat pentadbiran diraja, pendapatnya didengar dan diambil kira, catatan persejarahan yang dibuatnya penting untuk khazanah negara, dan kehebatannya sebagai tuan puteri yang bijaksana diakui.

Tetapi Paul tidak mencintainya, tidak pernah menunjukkan kasih sayang padanya, dan tidak pernah menyentuhnya. Hari Puteri Irulan dipilih menjadi permaisuri, ialah hari dia dipenjara dalam ikatan tanpa cinta.

II

Pada hari Puteri Irulan dipilihnya menjadi permaisuri, Paul Atreides telah bersumpah bahawa cinta dan hatinya sampai bila-bila hanya untuk Chani. Chani seorang. Gadis kecil molek dari puak Fremen penduduk asli Arrakis, ala Badwi padang pasir di tanah Arab, itulah satu-satunya buah hati pengarang jantungnya. Sayang sekali, asal usul Chani tidak melayakkan dia menjadi sebahagian dinasti Atreides yang agung. Di mata khalayak dan istana, Chani hanya gundik Paul. Bukan isteri yang sah, apatah lagi permaisuri atau Maharani.

Puteri Irulan – cantik, bijak, berpendidikan, mahir politik, mahir sejarah, berdarah bangsawan – memendam rasa mengharap cinta berbelas-belas tahun. Hasrat Puteri Irulan yang paling utama bukanlah kuasa atau kebesaran – itu sudah melimpah ruah dalam ribaannya. Puteri Irulan ingin disentuh suaminya. Puteri Irulan ingin menjadi seorang ibu, ingin melahirkan anak-anak pewaris kesultanan Atreides.

Hasrat yang sama sekali tidak akan ditunaikan oleh Paul. Paul malah berkata – aku tidak memberi kamu cinta, tidak menyentuh kamu langsung, jadi kamu bebas mencari cinta dan sentuhan lelaki lain di luar istana, tetapi jangan lahirkan anak haram, jangan bawa anak haram masuk istana ini.

Apa salah Puteri Irulan? Bukan kerana kecantikan, kebijaksanaan, kelincahan atau keberaniannya. Bukan kerana dia ‘wanita karier yang mengutamakan kerjaya atau gila kuasa’.

III

Paul Atreides tidak tercabar dengan wanita ‘bijak dan kuat’. Bondanya Lady Jessica, asuhan Bene Gesserit yang unggul, menjadi Bonda Agung (Reverend Mother) dalam kalangan puak Fremen, telah mengasuhnya sedemikian rupa hingga Paul tidak ada masalah dengan wanita ‘bijak dan kuat’.

Paul Atreides telah jatuh cinta kepada Chani, gadis Fremen yang dilihatnya dalam mimpi sejak di Caladan, sejak dia baru akil baligh, sebelum belayar ke Arrakis lagi.

Chani bukan wanita lembik yang pasif. Chani hampir menewaskannya dalam pertarungan, pada mula-mula Paul bertemu puak Fremen. Setelah dibawa memasuki puak itu, diberitahu rahsia-rahsia padang pasir dan diundang menghadiri upacara mereka, Paul melihat Chani dalam kedudukan yang penuh kemuliaan sebagai Sayyadina, pembantu Bonda Agung.

Setelah Paul menjadi Maharaja, Chani turut duduk dalam mesyuarat pentadbiran diraja. Chani dipercayai untuk menganalisa rencana sekutu dan musuh kerajaan Atreides, malah Paul memberi arahan kepada Komando Mautnya untuk membunuh sahaja sesiapa yang dikatakan Chani sebagai pengintip Sardaukar, askar upahan yang bakal membuat onar. Hanya berdasarkan penilaian Chani.

Jadi mengapa Chani, dan bukan Puteri Irulan? Chani wanita Fremen yang cantik, tangkas dan berani, berketurunan mulia dalam kaumnya, dan mempunyai akal cerdas yang tidak kurang daripada Puteri Irulan.

Paul pernah terfikir, jika Chani dan Puteri Irulan tidak ‘bermadu’, mungkin mereka sebenarnya dapat menjadi rakan baik.

IV

Bezanya adalah pada kesetiaan. Paul Atreides tidak pernah mempercayai Puteri Irulan. Baginya, kesetiaan Irulan tergantung pada Bene Gesserit, persaudaraan wanita bak ahli sihir dengan agenda mengawal dunia (walaupun bondanya sendiri diasuh oleh persaudaraan itu, Paul tidak mempercayai mereka). Keinginan Irulan untuk menjadi ibu ditafsirkan oleh Paul sebagai keinginan untuk mendapat kuasa. ‘Membiarkan dia mendapat anak bererti memberi dia kuasa yang terlalu besar.’ – begitulah kata Paul apabila ditanya, mengapa Puteri Irulan dibiarkan gersang.

Kepintaran, kecantikan dan ketangkasan Chani menambahkan rasa cinta Paul terhadapnya – kerana Chani ialah miliknya, seperti dia milik Chani. Hubungan mereka adalah atas dasar cinta dan kesetiaan.

Kepintaran, kecantikan dan ketangkasan Puteri Irulan tidak memberi apa-apa makna kepada Paul, kerana baginya Puteri Irulan tidak pernah setia kepadanya, dan mempunyai seribu satu agenda lain yang bakal meruntuhkannya jika dia tidak berjaga-jaga.

Puteri Irulan ditolak bukan kerana dia ‘wanita karier yang mengutamakan kerjaya’, tetapi kerana dia gagal meyakinkan Paul Atreides tentang kesetiaannya.

[SELINGAN : Sewaktu muda-muda dahulu saya selalu menyangka bahawa lelaki ‘gerun’ atau ‘malas’ berhadapan dengan wanita ‘bijak dan kuat’ – mungkin tekaan saya tidak sepenuhnya tepat. Lelaki tidak ada masalah dengan wanita ‘bijak dan kuat’. Lelaki – seperti juga wanita – ada masalah dengan pasangan yang mereka tidak dapat percayai, tidak yakini kesetiaannya.

Wanita bodoh dan lemah, atau wanita bijak dan kuat, sama saja. Jika kesetiaannya tidak tepercaya, jika di sebalik matanya terlalu banyak agenda yang mendatangkan curiga, mungkin sukar mendapatkan cinta.

Wanita tidak perlu membodohkan atau melemahkan diri untuk mendapatkan lelaki, tetapi mungkin wanita perlu menemukan lelaki yang sepadan dengannya, dan meyakinkan lelaki itu bahawa dirinya berbaloi untuk dimiliki. Pasti saja seorang wanita yang benar-benar dimiliki seorang lelaki, akan juga memiliki lelaki itu seluruhnya. Tiada cinta tanpa saling meyakini dan memiliki.

Agenda subversif atau bawah tanah juga patut dimiliki bersama. Waktu dalam jemaah dulu-dulu bukankah selalu disebut ‘carilah pasangan yang sefikrah’? Ops. ]

V

Mungkin benar bahawa Irulan memang mempunyai agenda lain. Dia diasuh oleh Bene Gesserit dengan peranan khusus sebagai bakal permaisuri Paul Atreides – pasti dengan tujuan yang melampaui kedaulatan empayar Paul, dan mengutamakan persaudaraan yang mengasuhnya.

Tetapi hanya selepas 12 tahun berkahwin tanpa cinta – selepas 12 tahun dibiarkan gersang – barulah Puteri Irulan benar-benar menyertai rencana mengkhianat. Jika Paul memberinya peluang, memberinya secicip kasih sayang, mungkin Paul akan mempunyai dua dewi pembela di sampingnya – Chani yang hitam manis, kecil molek, dan tangkas, serta Puteri Irulan yang berbadan tinggi lampai, bermata hijau, dan berambut perang.

Akhirnya, Paul Atreides tidak diberikan apa-apa oleh Puteri Irulan kerana Paul juga tidak memberikan apa-apa kepadanya.

(Refleksi dari Buku – DUNE MESSIAH oleh Frank Herbert.)

membina dunia

Salah satu kepandaian Frank Herbert dalam membina dunia (world-building) siri Dune ialah menggunakan imej, imejan, dan perkataan dari dunia nyata dan meresapkannya ke dalam dunia binaannya – sering kali dengan maksud yang berbeza. Sudah diketahui banyak peminatnya juga bahawa siri Dune banyak mensatirakan realiti sezamannya (bermula 1960-an).

Planet gurun pasir Arrakis, contohnya, apabila mendengar suara latar Puteri Irulan menyebutnya dalam filem Dune, ketara sungguh seperti ‘Iraq’. Planet Arrakis, gurun pasir dengan kaum Fremen (‘free-men’, orang bebas) yang sungguh mirip orang Badwi, dan mempunyai sumber alam yang menjadi rebutan alam semesta iaitu ‘rempah melange’, tentu saja simbol untuk minyak.

Namun ada juga penggunaan istilah yang terang-terangan diambil daripada bahasa Arab tetapi diberi makna berlainan.

‘Adab’ contohnya, diberi maksud ‘ancestral memory’, atau memori nenek moyang, suatu rakaman ingatan dan pengalaman daripada nenek moyang yang terkandung dalam maklumat genetik individu dan dapat dicapai dengan latihan khusus.

‘Muad’dib’, iaitu gelaran untuk Paul Atreides yang diberi oleh kaum Fremen, diberi maksud ‘tikus padang pasir’, sejenis ‘tikus kanggaru’ yang bergerak secara melompat-lompat. Stilgar, ketua puak yang menerimanya begitu berkenan dengan pilihan nama itu. Katanya,

“Pilihanmu menggembirakan kami. Muad’dib pintar dengan cara kehidupan padang pasir. Muad’dib menghasilkan airnya sendiri. Muad’dib bersembunyi daripada matahari, dan mengembara pada waktu malam yang sejuk. Muad’dib cepat membiak di mana-mana saja. Muad’dib, kami katakan sebagai ‘pendidik anak-anak lelaki’.”

Setelah menjadi Maharaja dan disembah sebagai dewa, Paul masih digelar Muad’dib oleh rakyat seluruh alam semesta. Muad’dib, iaitu nama gelarannya yang bermaksud ‘tikus padang pasir’, bukan Muad’dib yang bermaksud guru/pengajar dalam bahasa Arab.

Mungkin majoriti pembaca Frank Herbert pada ketika itu tidak biasa dengan bahasa Arab, dan menganggap pemilihan kata yang digunakannya adalah eksotik dan unik.

Banyak lagi perkataan lain seperti ‘bi la kaifa’, ‘lisan al-gaib’, ‘alam al-mithal’, ‘ibn qirtaiba’, yang digunakan beliau – ada yang mengekalkan maksud asal, ada yang diberi maksud baru.

Saya sering kali terpaksa mengingatkan diri bahawa perkataan tertentu yang dipilih sebenarnya membawa maksud yang berlainan daripada maksud asal. Dalam dunia Dune ciptaan Frank Herbert, perkataan yang dipilihnya mempunyai maksud yang ditentukan olehnya. Kuasa pengarang!

alia atreides

(sempena hari wanita)

Kata Brian Herbert, hikayat Dune ditulis oleh bapanya Frank Herbert bertujuan antara lain untuk mengabadikan cintanya kepada isterinya, yang digambarkan melalui watak Lady Jessica, ibu kepada wira pertama Dune iaitu Paul Atreides. Namun sempena Hari Wanita ini, saya ingin mengulas seorang wanita lain dalam hikayat ini yang lebih mengesankan bagi saya, iaitu Alia Atreides.

Alia Atreides, anak kedua Lady Jessica, adik kepada Paul, digelar Keramat Alia Si Penghunus Pisau dalam catatan sejarah Puteri Irulan yang diperturunkan merentas zaman.

___

“Orang Fremen melihatnya seperti Semangat Tanah, seorang dewi jelmaan dengan tugas khusus untuk melindungi puak di bawah naungannya dengan cara yang ganas. Dia ialah Bonda Agung kepada semua Bonda Agung mereka. Bagi penziarah yang mengunjunginya dengan permintaan supaya dia memulihkan kejantanan lelaki atau menyuburkan wanita mandul, dia ialah lawan kepada ketepatan logik. Kemuliaannya memuncak apabila terbukti bahawa logik dan analisa terkepung oleh batas-batas tersendiri. Pada dirinya tergambar ketegangan dan pertentangan mutlak. Dialah dara-sundal, petah, celupar, kejam, keinginannya menghancurkan bak ribut padang pasir.”

Keramat Alia Si Penghunus Pisau, dari Catatan Puteri Irulan

___

15 tahun selepas melahirkan Paul, Lady Jessica hamil anak kedua. Kali ini dia bakal menyambut seorang puteri. Namun sebelum sempat meraikan khabar gembira itu dengan suaminya, dia dan Paul terpaksa lari berdua merentas padang pasir menyelamatkan diri daripada buruan Harkonnen.

Ketika Lady Jessica menghadap puak Fremen dalam ujian hidup-mati, mendepani sawai rempah melange yang akan membuka gerbang firasat dan mengoyakkan tabir masa, Alia yang berada dalam rahimnya turut mabuk bersama. Dalam bentuk janin, roh Alia telah sedar diri, telah menjadi manusia berakal, dengan memori nenek moyang beribu-ribu Bonda Agung sebelumnya diperturunkan dalam kesedarannya.

Alia telah menjadi Kelaknatan yang sangat digeruni dan dibenci oleh Bene Gesserit; anak yang terbangun di dalam rahim sepertinya dikatakan akan membesar menjadi manusia yang bahaya lagi celaka.

Umpama Nabi Isa yang mampu bertutur dalam buaian, sejak kecil Alia berfikir dan berbicara seperti orang dewasa, ribuan Bonda Agung dengan kebijaksanaan dan latihan Bene Gesserit berhimpun dalam mindanya. Sebelum menjadi gadis sunti dia telah menyertai jihad Paul abangnya, dan dengan ketangkasannya berjaya membunuh Baron Harkonnen yang bersifat syaitan.

Sementara Paul Atreides menjadi Maharaja, diagungkan sebagai raja dewa dengan gelaran Muad’dib dan memiliki kekuasaan merentas alam semesta, Alia turut mencipta pengaruhnya sendiri.

Pada usia 15 tahun, Alia seorang gadis jelita yang pintar dan tangkas berpedang, dipuja bak dewi. Alia disembah pengikutnya dalam upacara khusus di rumah ibadat yang tesergam indah, penziarah mengunjunginya dari seluruh alam semesta, restunya ditagih, sumpahannya mengerikan. Kata Alia didengar dalam sidang pentadbiran diraja, kebijaksanaan dan firasatnya terlalu bernilai untuk menyiasat muslihat serta membuat keputusan.

Kultus Alia berkembang pesat dengan kekuatan yang ampuh.

Namun Alia ialah manusia biasa. Walaupun sawai rempah melange ibunya telah memperturunkan pengetahuan ribuan tahun kepadanya, jasadnya ialah seorang gadis remaja.

“…Alia telah menginjak usia kewanitaan, jelita dan suci dalam usia muda yang belum ternoda… usianya baru lima belas – hampir enam belas tahun, Bonda Agung yang tidak pernah menjadi ibu, rahib yang dara, disembah dengan penuh kegerunan oleh rakyat yang dicengkam kepercayaan tahyul – Keramat Alia Si Penghunus Pisau.”

Jasadnya ialah seorang gadis remaja yang beremosi, bernafsu, dan mahu bercinta. Pertelagahannya dengan pahlawan Duncan Idaho (walaupun dalam bentuk klon, seorang ghola), sementara Duncan begitu tenang dan mengerti bahawa di hadapannya ialah seorang wanita yang marah-marah dan mahu dicintai, sebetulnya mahu dicium. Mereka saling merenung, saling meneka isi hati di celah-celah intrig politik dan peperangan berdarah. Kemuncaknya dalam Dune Messiah, tatkala Alia parah tertekan dihimpit malapetaka yang menimpa abangnya dan gagal dalam sawai rempah untuk melihat masa hadapan hingga hampir mati, Duncan menawarkan bahu gagahnya untuk Alia berpaut.

___

Alia Atreides ialah seorang wanita yang bijak dan beremosi. Bijak, terlalu bijak, dengan kebijaksanaan yang terlalu jauh melampaui usianya yang sebenar. Emosinya mengombak dan membadai tanpa takut – dia menghadapi kemelut cintanya dengan Duncan, bertengkar dengan Paul, dan membentak-bentak marah kepada pengikutnya sewaktu upacara memuja.

Lady Jessica ibunya, Chani gundik abangnya, dan Puteri Irulan isteri abangnya (walaupun hanya pada nama) membawa perwatakan wanita yang lebih terkurung. Terkurung oleh peraturan, arahan, tradisi, malah kesetiaan. Emosi mereka tersembunyi dan terkawal, setiap tindak-tanduk dibataskan oleh pelbagai pertimbangan.

Alia, Alia Atreides, Keramat Alia Si Penghunus Pisau, dengan berani dan lancang mempersetankan peraturan dan tradisi, berpedang dengan telanjang dalam kamar latihannya, dan tidak terdorong sedikitpun untuk menutup badannya apabila tepergok dengan Paul dan Stilgar sang ketua puak Fremen.

Walaupun akhirnya Alia ‘terhukum’ oleh kegilaan (hikayat sering menetapkan bahawa wanita yang tidak akur dan melawan harus berakhir sebagai buangan) – emosinya yang tidak terkawal dan mindanya yang terlalu berat telah memusnahkan kewarasannya hingga mengubahnya menjadi tirani – Alia Atreides masih cukup kuat untuk menamatkan hidupnya secara bermaruah. Demi melawan kerasukan oleh ‘roh’ Baron Harkonnen yang pernah dibunuhnya, kerasukan yang mendorongnya merobohkan dinasti Atreides, Alia telah memilih untuk mati.

Zaman-berzaman kemudiannya, Alia masih dikenang sebagai keramat, sebagai dewi, sebagai Maharani yang pernah memangku takhta Paul sementara anak-anaknya menjadi dewasa.

___

“Aku mahu mampu ketawa,” bisik Alia. Air mata meleleh pada pipinya. “Tapi aku ialah adinda kepada seorang Maharaja yang disembah sebagai dewa. Orang takut kepada aku. Aku tidak mahu ditakuti.”
Duncan menyapu air mata pada wajah Alia.
“Aku tak mahu menjadi sejarah,” Alia berbisik lagi. “Aku hanya mahu dicintai…dan untuk mencintai.”
“Kau memang dicintai,” balas Duncan Idaho.
SELAMAT HARI WANITA.

cacing gergasi atau kuda perang

Dalam beberapa hari ini, kita diperingatkan semula bahawa daulat dan maskulin seorang lelaki (baca : raja dan anak raja) itu berkait rapat dengan kecergasan fizikal dan kehebatannya di atas tunggangan. Haiwan paling macho pastilah kuda. Berbeza dengan motosikal berkuasa tinggi dan kereta lumba yang hakikatnya tetap benda mati yang taat dan patuh, kuda ialah haiwan gagah bernyawa yang punya temperamen, perlu dilatih dan diramal tindak balasnya supaya dapat berjuang bersama.

Pada zaman dahulu para perwira berkuda ke medan perang, pada zaman moden mereka yang berkuda ke medan sukan juga dilihat sebagai wira.

Lalu saya terfikir, dalam hikayat Dune, adakah anak-beranak Atreides yang begitu perwira itu mempunyai kuda untuk ditunggang di padang pasir?

Paul Atreides dan Leto II Atreides, mengikut tradisi puak Fremen, mempunyai kenderaan yang lebih macho dan mencabar daripada kuda. Cacing gurun yang panjangnya beratus-ratus, malah beribu-ribu meter, raksasa dan menggerunkan, diumpan dan ditunggang, dipandu hala ke utara atau selatan, dibawa mengembara atau berperang.

Menunggang dan menguasai cacing gurun gergasi merentas padang pasir ialah petanda kedewasaan dan kejantanan. ‘Sandrider’ atau ‘penunggang padang pasir’ ialah istilah kehormatan untuk lelaki Fremen yang berjaya menyempurnakan ritual itu.

Saya masih meremang bulu roma membayangkan wira Fremen, dan pastinya Paul Atreides sebagai Muad’dib, turun ke medan perang menunggang cacing gurun yang mengaum.

(Oh ya. Walau betapa macho pun Paul Atreides, gadis-gadis Fremen tidak terjerit-jerit memanggil namanya atau terkinja-kinja mahu bergambar. Paul sudah punya Chani yang dikenalinya dalam mimpi sebelum ke Planet Arrakis lagi, dan mereka terus bersatu dalam ‘tau’ pertama di Sietch Tabr.

Kalau Paul masih ‘single and available’ pun, saya pasti gadis dan wanita Fremen akan cuba memenanginya dengan cara yang elegan dan tersendiri, bukan terpekik terlolong meletupkan ovari.)

love in the time of cholera

Pada kali pertama Florentino Ariza bertemu gadis pujaannya, ibunya telah mendapat tahu lebih dahulu sebelum dia sempat bercerita, kerana dia kehilangan suaranya dan seleranya dan menghabiskan sepanjang malam berkeluh-kesah kerimasan di atas katil. Semasa dia menunggu pula balasan untuk surat cintanya yang pertama, penderitaannya digandakan oleh cirit-birit dan muntah hijau, dia menjadi keliru, terhuyung-hayang dan kerap kali pitam tiba-tiba, sementara ibunya dilanda ketakutan kerana keadaannya tidak seperti orang sakit cinta, tetapi lebih mirip orang sakit kolera.

Bapa angkat Florentino Ariza, seorang pengamal homeopati tua yang telah menjadi tempat Transito Ariza mengadu sejak hari-hari wanita itu bergelar perempuan simpanan, turut berasa cemas pada mulanya. Nadi anak muda itu yang lemah, pernafasan yang kasar dan tubuh pucatnya yang berpeluh dingin tak ubah seperti pesakit tenat di hujung nyawa. Namun begitu pemeriksaan lanjut menunjukkan bahawa Florentino Ariza sebenarnya tidak demam, tidak merasai kesakitan di mana-mana, dan hanya merasai keinginan sangat kuat untuk segera mati.

Beberapa soalan tuntas yang ditanyakan kepada pesakit dan kepada ibunya sudah memadai untuk mencapai kesimpulan bahawa gejala sakit cinta serupa sahaja dengan gejala sakit kolera. Pengamal homeopati tua itu mempreskripsikan rendaman bunga linden untuk menenangkan urat saraf, dan mencadangkan supaya pesakit beralih angin, berpindah ke tempat lain buat seketika, mudah-mudahan apabila berjauhan hatinya akan lebih tenang. Florentino Ariza sesungguhnya tidak mahu berasa tenang: dia mahu menikmati kesengsaraan cintanya.

Transito Ariza ialah perempuan berketurunan seperempat kulit hitam yang sudah bebas, kehendaknya untuk mengecapi kebahagiaan telah banyak dihampakan oleh kemiskinan, dan dia menikmati penderitaan cinta anaknya itu seolah-olah dia sendiri yang sedang merasainya. Dia memberi Florentino Ariza minum teh bunga linden apabila anaknya itu mula meracau-racau, dia menyelimuti anaknya dengan gebar tebal supaya tidak menggigil, tetapi pada masa yang sama dia menggalakkan anaknya untuk terus asyik dalam memuja perasaan cinta.

“Nikmatilah perasaanmu ini sekarang nak, semasa kamu masih muda, dan menderitalah seteruk-teruknya,” kata si ibu, “kerana benda-benda seperti ini tidak akan kekal sampai bila-bila.”

____

terjemahan fragmen
dari novel
Love in the Time of Cholera
Gabriel Garcia Marquez