tidak pandai melukis

waktu kecil dahulu – mungkin darjah empat atau lima? sudah lupa – guru serba boleh saya, Cikgu Azman Haron membawa kami sekelas ke pinggir sungai. kami diberi kertas lukisan, pensel dan pensel warna, lalu disuruh menggambari apa yang berada di hadapan kami.

saya masih ingat ketika itu saya menatap sungai yang terbentang santak ke seberang, lalu mata saya memanjat bukit-bukau yang menghijau di sebelah sana, sampai ke pucuk pokok-pokok tinggi yang terjulur melangkaui yang lain. kemudian saya tatap pula pasir-pasir sungai yang berada di tebing sebelah sini, mengunjur dari tempat saya bersila hinggalah tenggelam ke gigi air.

saya conteng-contengkan kertas lukisan itu dengan penuh harapan untuk merakam keindahan yang saya saksikan, tapi gagal.
saya tidak pernah pandai melukis atau memotret. betapa saya cemburu melihat tangan-tangan lincah yang mampu merakam semula keindahan yang mereka saksikan, dengan tinta pena mereka sendiri.

seperti guru saya yang lukisannya umpama keajaiban.

sampai kini, saya hanya cuba dan cuba lagi merakam apa yang indah, yang sampai ke hati, yang menggegar jiwa, dengan bahasa yang saya mampu guna – iaitu bahasa tulisan, puisi dan cerita, sambil berharap agar orang lain masih dapat merasai apa yang saya rasa, apa yang saya ingin sampaikan, walaupun tidak dapat melihat rupa gambarnya.

kerana saya tidak pandai melukis.